N.A. Rahman
1. Tujuan utama saya dan sahabat, Fitri untuk menyertai ekspedisi mendaki Gunung Nuang ialah untuk membuat pemerhatian terhadap perbezaan kepelbagaian flora di hutan daripada hutan dipterokarpa tanah rendah (0-300 m) sehingga hutan jenis Montane Oak-Laurel (1,200-1,500 m). Perbezaan suhu pada altitud berbeza menyebabkan perbezaan jenis tumbuhan di antara kawasan tanah tinggi dan tanah rendah.

Pengelasan jenis hutan mengikut altitud.


Sinaran matahari di dalam hutan di Gunung Nuang.
 

Tumbuh-tumbuhan di puncak gunung yang diselimuti kabus.


2. Ibarat 'sambil menyelam minum air', kami juga dapat menawan gunung tersebut dan melihat pemandangan indah ciptaan Allah di sekitarnya. Walau bagaimanapun, terdapat banyak dugaan dan cabaran untuk mendaki sejak dari permulaan pendakian lagi. Trek berlumpur di awal pendakian memang menguji tahap kesabaran kami semua. Ditambah pula dengan tahap kecergasan saya yang rendah dan beg yang berat, pendakian terasa semakin mencabar. Ini menyebabkan saya menjadi orang terakhir semasa permulaan pendakian dan kadangkala terpisah dengan orang yang di hadapan. Situasi ini hampir menyebabkan saya hampir tersesat apabila tersalah laluan kerana terdapat beberapa laluan denai di kiri dan kanan trek yang sebenar. Setelah menyedari trek yang dilalui tiada kesan tapak kasut, saya berpatah balik semula mengikuti aliran anak sungai sehingga bertemu sekumpulan pengakap yang sedang berkhemah. Selepas beberapa ketika, seorang 'guide' ekspedisi datang dan membawa saya ke tempat peserta ekspedisi berkumpul dan berehat berhampiran empangan kecil.

Penulis semasa pendakian ke puncak gunung.
 
 
3. Perjalanan diteruskan sehingga kem 'Sg. Lolo' dan berhenti untuk berehat kerana terdapat anak sungai di situ. Selepas itu, perjalanan diteruskan lagi ke kem 'Pacat'. Kem ini merupakan kawasan lapang yang sering dijadikan pendaki sebagai destinasi untuk berehat sebelum meneruskan pendakian dan kedudukannya ialah kira-kira separuh daripada ketinggian gunung. Setelah mengharungi pendakian pada muka bumi yang curam dalam hujan lebat, saya tiba di kem 'Pacat' pada pukul 7.00 petang dalam suasana yang hampir gelap. Khemah didirikan dan bahan makanan yang telah menjadi beban sebelum itu terus dikeluarkan dari beg. Peserta yang tiba lebih awal telah mula masak. Peserta lelaki turun ke sumber air terakhir yang merupakan aliran air kecil dan terletak di kawasan yang lebih rendah daripada kem 'Pacat'. Perjalanan ke sumber air tersebut amat mencabar disebabkan keadaan muka buminya yang sangat curam dan ditambah pula dengan suasana gelap pada waktu malam. Makan malam dijamah dengan amat berselera walaupun menunya 'ala kadar' sahaja. Situasi tersebut mencetuskan suatu  pernyataan, "Makanan yang paling sedap di dunia ialah makanan yang dimakan ketika lapar di dalam hutan". Kemudian, kami tidur tanpa banyak bicara. Mungkin kerana keletihan.

Di pertengahan trek ke puncak gunung.


4. Awal-awal pagi lagi kami telah bersiap untuk meneruskan pendakian. Pendakian dimulakan dalam keadaan berkabus. Suhu yang semakin rendah dan trek yang basah menambahkan lagi cabaran kepada kami. Setelah mengharungi pendakian pada keadaan yang curam, kami sampai di puncak Pengasih atau puncak 'tipu'. Bagi pendaki yang baru, ketibaan di kawasan ini seperti telah di puncak Gunung Nuang tetapi masih ada lagi perjalanan ke puncak yang sebenar.

 Penulis (kiri) bersama sahabat di dalam perjalanan ke puncak gunung.


5. Perjalanan diteruskan lagi sehingga kami tiba di puncak Gunung Nuang pada waktu tengah hari. Pemandangan yang sangat indah dinikmati bersama walaupun sangat letih sehingga terbaring. Selepas itu, makanan tengah hari juga dimasak. Dapat juga merasai pengalaman makan tengah hari di puncak gunung.

 Penulis (belakang paling kanan) bersama peserta-peserta ekspedisi di puncak Gunung Nuang.


Penulis di puncak Gunung Nuang.


Pemandangan dari puncak gunung.


Pemandangan dari puncak gunung.


Pemandangan dari puncak gunung.


6. Selepas beberapa ketika, kami meneruskan perjalanan untuk turun menghala ke Janda Baik, Pahang. Perjalanan turun juga sehebat cabaran mendaki gunung kerana trek yang licin dan jauh. Bagi yang telah letih, teknik 'menggelungsur' dan 'meluncur' digunakan. Apabila hampir ke kawasan Janda Baik, kami berhenti rehat di air terjun Chemperoh. Setelah mandi di sana, perjalanan diteruskan lagi dengan mengharungi kawasan yang ditumbuhi buluh dan banyak juga yang telah tumbang. Selepas itu, kami melalui kawasan kebun sayur yang luas. Ketika itu, tenaga yang masih ada hanya tinggal satu 'bar' sahaja dan hampir kehabisan. Akhirnya saya sampai di 'check point' terakhir pada pukul lapan malam di sebuah 'chalet' dalam keadaan yang sangat letih. Setelah makan malam dan 'barbeque', aktiviti seterusnya merupakan sesi penyampaian sijil dan 'luahan perasaan'. Ada peserta yang menyatakan bahawa beliau 'bertaubat' tidak akan naik gunung lagi. Kami pulang semula ke UKM pada keesokan harinya.

Penulis berehat sebentar di dalam perjalanan turun ke Janda Baik, Pahang.


Cuba anda anggarkan jarak perjalanan turun dari puncak Gunung Nuang (anak panah merah) sehingga batang pokok di sisi kanan foto di atas (di Janda Baik, Pahang).


Sijil penyertaan ekspedisi daripada Altitude Outdoors.


7. Banyak pengalaman yang diperoleh sepanjang ekspedisi pendakian ini. Di antaranya ialah mengajar diri untuk mengawal mental dan emosi ketika dalam keadaan yang kritikal dan tertekan. Tahap kesabaran juga diuji ketika hendak mencapai matlamat tiba di puncak gunung dan menuruni semula gunung dalam keadaan yang letih dan kesakitan otot. Semangat setia kawan dan berpasukan amat diperlukan di dalam saling bantu-membantu apabila menghadapi masalah. Keinsafan juga dirasai apabila mengenangkan betapa sukarnya hidup dan memperoleh air dan makanan di dalam hutan serta merasai betapa kerdilnya kita jika dibandingkan dengan keluasan alam sekeliling ketika melihat pemandangan di puncak gunung. Yang paling penting, matlamat untuk melihat kepelbagaian flora di Gunung Nuang telah tercapai.
Labels: edit post
0 Responses

Post a Comment