- "It is not the mountain we conquer, but ourselves" (Bukan gunung yang kita tawan, tetapi diri kita sendiri). Itulah kata-kata Sir Edmund Percival Hillary (1919-2008), seorang pendaki gunung dari New Zealand yang menjadi manusia pertama menjejakkan kaki di puncak tertinggi di dunia di Gunung Everest (8,850 m) bersama-sama Tenzing Norgay pada 29 Mei 1953.
- Saya amat bersetuju dengan kata-kata tersebut apabila merasai pengalaman pertama mendaki gunung ketika menyertai ekspedisi mendaki Gunung Nuang atau 'Trans Nuang Expedition' pada 24-26 Ogos 2007. Saya bersama sahabat (juga senior), Ahmad Fitri Zohari terlibat dengan ekspedisi tersebut secara tidak sengaja. Aktiviti yang dianjurkan persatuan mahasiswa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM bersama Altitude Outdoors, asalnya khusus untuk pelajar fakulti tersebut sahaja sempena menyambut kemerdekaan negara. Oleh kerana ada kekosongan lagi, kami dapat juga menyertainya. Terdapat 20 orang peserta termasuk kami berdua dan terdapat tiga orang pengiring (guide). Trek pendakian kami bermula di Pangsun, Selangor sehingga puncak Gunung Nuang dan melalui laluan turun ke Janda Baik, Pahang.
- Gunung Nuang yang mempunyai altitud 1,493 m merupakan gunung yang tertinggi di Selangor dan terletak pada kedudukan 3°14' Utara dan 101°50' Timur. Ia berdekatan dengan sempadan negeri Pahang di utara dan sempadan Negeri Sembilan di barat. Secara spesifik, gunung ini terletak di dalam hutan simpan kekal Hulu Langat kompartmen 64 dan hutan simpan dara No. B6 bermula pada ketinggian 720 m.
- Kawasan yang bermula dari kaki gunung hingga ke altitud 720 m pernah dibalak pada awal 1960-an (Nizam et al. 2005). Kawasan ini amat penting sebagai kawasan tadahan air untuk negeri Selangor, di mana air akan memasuki aliran sungai utama seperti Sungai Langat dan beberapa anak sungai lain. Aliran sungai ini kemudiannya menumpu kepada empangan air berdekatan seperti Empangan Semenyih dan Empangan Sungai Langat. Purata suhu pada ketinggian 1350m ialah 17.22°C dan purata curahan hujan bulanan ialah 207.8 mm. Di kawasan yang beraltitud tinggi di gunung ini, terdapat hutan jenis Montane Oak-Laurel di mana hutan jenis ini lazimnya berada pada altitud 1,200-1,500 m atas aras laut.
Kedudukan lokasi Gunung Nuang.
Kedudukan puncak Gunung Nuang (anak panah merah) daripada perspektif penulis di Janda Baik, Pahang.
Kedudukan puncak Gunung Nuang (anak panah merah) daripada perspektif penulis di Janda Baik, Pahang.
Penulis di sebelah papan tanda kawasan hutan simpan dara.
Penulis (kiri) bersama Fitri di hadapan pintu masuk ke Empangan Sungai Langat yang berhampiran pintu masuk ke Hutan Lipur Gunung Nuang.
Menikmati pemandangan indah di puncak gunung.
Menikmati pemandangan indah di puncak gunung.
Papan tanda di puncak Gunung Nuang.
RUJUKAN
Nizam, M.S., Zainab, B., Shukor, M.N. & Juliana, W.A. 2005. Iklim tempatan Gunung Nuang. Dlm: Shukor, M.N., Sahibin, A.R., Shaharuddin, M.I., Nik Mohd Shah, N.M., Jalil, M.S., Razani, U. & Latiff, A. (pnyt.). 2005. Gunung Nuang, Selangor: Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi, hlm. 13-19. Kuala Lumpur: Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.
Post a Comment