N.A. Rahman
1. Tujuan utama saya dan sahabat, Fitri untuk menyertai ekspedisi mendaki Gunung Nuang ialah untuk membuat pemerhatian terhadap perbezaan kepelbagaian flora di hutan daripada hutan dipterokarpa tanah rendah (0-300 m) sehingga hutan jenis Montane Oak-Laurel (1,200-1,500 m). Perbezaan suhu pada altitud berbeza menyebabkan perbezaan jenis tumbuhan di antara kawasan tanah tinggi dan tanah rendah.

Pengelasan jenis hutan mengikut altitud.


Sinaran matahari di dalam hutan di Gunung Nuang.
 

Tumbuh-tumbuhan di puncak gunung yang diselimuti kabus.


2. Ibarat 'sambil menyelam minum air', kami juga dapat menawan gunung tersebut dan melihat pemandangan indah ciptaan Allah di sekitarnya. Walau bagaimanapun, terdapat banyak dugaan dan cabaran untuk mendaki sejak dari permulaan pendakian lagi. Trek berlumpur di awal pendakian memang menguji tahap kesabaran kami semua. Ditambah pula dengan tahap kecergasan saya yang rendah dan beg yang berat, pendakian terasa semakin mencabar. Ini menyebabkan saya menjadi orang terakhir semasa permulaan pendakian dan kadangkala terpisah dengan orang yang di hadapan. Situasi ini hampir menyebabkan saya hampir tersesat apabila tersalah laluan kerana terdapat beberapa laluan denai di kiri dan kanan trek yang sebenar. Setelah menyedari trek yang dilalui tiada kesan tapak kasut, saya berpatah balik semula mengikuti aliran anak sungai sehingga bertemu sekumpulan pengakap yang sedang berkhemah. Selepas beberapa ketika, seorang 'guide' ekspedisi datang dan membawa saya ke tempat peserta ekspedisi berkumpul dan berehat berhampiran empangan kecil.

Penulis semasa pendakian ke puncak gunung.
 
 
3. Perjalanan diteruskan sehingga kem 'Sg. Lolo' dan berhenti untuk berehat kerana terdapat anak sungai di situ. Selepas itu, perjalanan diteruskan lagi ke kem 'Pacat'. Kem ini merupakan kawasan lapang yang sering dijadikan pendaki sebagai destinasi untuk berehat sebelum meneruskan pendakian dan kedudukannya ialah kira-kira separuh daripada ketinggian gunung. Setelah mengharungi pendakian pada muka bumi yang curam dalam hujan lebat, saya tiba di kem 'Pacat' pada pukul 7.00 petang dalam suasana yang hampir gelap. Khemah didirikan dan bahan makanan yang telah menjadi beban sebelum itu terus dikeluarkan dari beg. Peserta yang tiba lebih awal telah mula masak. Peserta lelaki turun ke sumber air terakhir yang merupakan aliran air kecil dan terletak di kawasan yang lebih rendah daripada kem 'Pacat'. Perjalanan ke sumber air tersebut amat mencabar disebabkan keadaan muka buminya yang sangat curam dan ditambah pula dengan suasana gelap pada waktu malam. Makan malam dijamah dengan amat berselera walaupun menunya 'ala kadar' sahaja. Situasi tersebut mencetuskan suatu  pernyataan, "Makanan yang paling sedap di dunia ialah makanan yang dimakan ketika lapar di dalam hutan". Kemudian, kami tidur tanpa banyak bicara. Mungkin kerana keletihan.

Di pertengahan trek ke puncak gunung.


4. Awal-awal pagi lagi kami telah bersiap untuk meneruskan pendakian. Pendakian dimulakan dalam keadaan berkabus. Suhu yang semakin rendah dan trek yang basah menambahkan lagi cabaran kepada kami. Setelah mengharungi pendakian pada keadaan yang curam, kami sampai di puncak Pengasih atau puncak 'tipu'. Bagi pendaki yang baru, ketibaan di kawasan ini seperti telah di puncak Gunung Nuang tetapi masih ada lagi perjalanan ke puncak yang sebenar.

 Penulis (kiri) bersama sahabat di dalam perjalanan ke puncak gunung.


5. Perjalanan diteruskan lagi sehingga kami tiba di puncak Gunung Nuang pada waktu tengah hari. Pemandangan yang sangat indah dinikmati bersama walaupun sangat letih sehingga terbaring. Selepas itu, makanan tengah hari juga dimasak. Dapat juga merasai pengalaman makan tengah hari di puncak gunung.

 Penulis (belakang paling kanan) bersama peserta-peserta ekspedisi di puncak Gunung Nuang.


Penulis di puncak Gunung Nuang.


Pemandangan dari puncak gunung.


Pemandangan dari puncak gunung.


Pemandangan dari puncak gunung.


6. Selepas beberapa ketika, kami meneruskan perjalanan untuk turun menghala ke Janda Baik, Pahang. Perjalanan turun juga sehebat cabaran mendaki gunung kerana trek yang licin dan jauh. Bagi yang telah letih, teknik 'menggelungsur' dan 'meluncur' digunakan. Apabila hampir ke kawasan Janda Baik, kami berhenti rehat di air terjun Chemperoh. Setelah mandi di sana, perjalanan diteruskan lagi dengan mengharungi kawasan yang ditumbuhi buluh dan banyak juga yang telah tumbang. Selepas itu, kami melalui kawasan kebun sayur yang luas. Ketika itu, tenaga yang masih ada hanya tinggal satu 'bar' sahaja dan hampir kehabisan. Akhirnya saya sampai di 'check point' terakhir pada pukul lapan malam di sebuah 'chalet' dalam keadaan yang sangat letih. Setelah makan malam dan 'barbeque', aktiviti seterusnya merupakan sesi penyampaian sijil dan 'luahan perasaan'. Ada peserta yang menyatakan bahawa beliau 'bertaubat' tidak akan naik gunung lagi. Kami pulang semula ke UKM pada keesokan harinya.

Penulis berehat sebentar di dalam perjalanan turun ke Janda Baik, Pahang.


Cuba anda anggarkan jarak perjalanan turun dari puncak Gunung Nuang (anak panah merah) sehingga batang pokok di sisi kanan foto di atas (di Janda Baik, Pahang).


Sijil penyertaan ekspedisi daripada Altitude Outdoors.


7. Banyak pengalaman yang diperoleh sepanjang ekspedisi pendakian ini. Di antaranya ialah mengajar diri untuk mengawal mental dan emosi ketika dalam keadaan yang kritikal dan tertekan. Tahap kesabaran juga diuji ketika hendak mencapai matlamat tiba di puncak gunung dan menuruni semula gunung dalam keadaan yang letih dan kesakitan otot. Semangat setia kawan dan berpasukan amat diperlukan di dalam saling bantu-membantu apabila menghadapi masalah. Keinsafan juga dirasai apabila mengenangkan betapa sukarnya hidup dan memperoleh air dan makanan di dalam hutan serta merasai betapa kerdilnya kita jika dibandingkan dengan keluasan alam sekeliling ketika melihat pemandangan di puncak gunung. Yang paling penting, matlamat untuk melihat kepelbagaian flora di Gunung Nuang telah tercapai.
N.A. Rahman
  1. "It is not the mountain we conquer, but ourselves" (Bukan gunung yang kita tawan, tetapi diri kita sendiri). Itulah kata-kata Sir Edmund Percival Hillary (1919-2008), seorang pendaki gunung dari New Zealand yang menjadi manusia pertama menjejakkan kaki di puncak tertinggi di dunia di Gunung Everest (8,850 m) bersama-sama Tenzing Norgay pada 29 Mei 1953.

  2. Saya amat bersetuju dengan kata-kata tersebut apabila merasai pengalaman pertama mendaki gunung ketika menyertai ekspedisi mendaki Gunung Nuang atau 'Trans Nuang Expedition' pada 24-26 Ogos 2007. Saya bersama sahabat (juga senior), Ahmad Fitri Zohari terlibat dengan ekspedisi tersebut secara tidak sengaja. Aktiviti yang dianjurkan persatuan mahasiswa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM bersama Altitude Outdoors, asalnya khusus untuk pelajar fakulti tersebut sahaja sempena menyambut kemerdekaan negara. Oleh kerana ada kekosongan lagi, kami dapat juga menyertainya. Terdapat 20 orang peserta termasuk kami berdua dan terdapat tiga orang pengiring (guide). Trek pendakian kami bermula di Pangsun, Selangor sehingga puncak Gunung Nuang dan melalui laluan turun ke Janda Baik, Pahang.



  3. Kedudukan lokasi Gunung Nuang.



    Kedudukan puncak Gunung Nuang (anak panah merah) daripada perspektif penulis di Janda Baik, Pahang.



  4. Gunung Nuang yang mempunyai altitud 1,493 m merupakan gunung yang tertinggi di Selangor dan terletak pada kedudukan 3°14' Utara dan 101°50' Timur. Ia berdekatan dengan sempadan negeri Pahang di utara dan sempadan Negeri Sembilan di barat. Secara spesifik, gunung ini terletak di dalam hutan simpan kekal Hulu Langat kompartmen 64 dan hutan simpan dara No. B6 bermula pada ketinggian 720 m.



  5. Penulis di sebelah papan tanda kawasan hutan simpan dara.



  6. Kawasan yang bermula dari kaki gunung hingga ke altitud 720 m pernah dibalak pada awal 1960-an (Nizam et al. 2005). Kawasan ini amat penting sebagai kawasan tadahan air untuk negeri Selangor, di mana air akan memasuki aliran sungai utama seperti Sungai Langat dan beberapa anak sungai lain. Aliran sungai ini kemudiannya menumpu kepada empangan air berdekatan seperti Empangan Semenyih dan Empangan Sungai Langat. Purata suhu pada ketinggian 1350m ialah 17.22°C dan purata curahan hujan bulanan ialah 207.8 mm. Di kawasan yang beraltitud tinggi di gunung ini, terdapat hutan jenis Montane Oak-Laurel di mana hutan jenis ini lazimnya berada pada altitud 1,200-1,500 m atas aras laut.

Penulis (kiri) bersama Fitri di hadapan pintu masuk ke Empangan Sungai Langat yang berhampiran pintu masuk ke Hutan Lipur Gunung Nuang.


Menikmati pemandangan indah di puncak gunung.


Papan tanda di puncak Gunung Nuang.


RUJUKAN

Nizam, M.S., Zainab, B., Shukor, M.N. & Juliana, W.A. 2005. Iklim tempatan Gunung Nuang. Dlm: Shukor, M.N., Sahibin, A.R., Shaharuddin, M.I., Nik Mohd Shah, N.M., Jalil, M.S., Razani, U. & Latiff, A. (pnyt.). 2005. Gunung Nuang, Selangor: Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi, hlm. 13-19. Kuala Lumpur: Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.